Friday, December 6, 2013

Trauma 2 (sebab rasa macam dah pernah ada tajuk pos 'Trauma' sebelum ni. Eh? Ok, ini pos dengan tajuk paling panjang)

Bismillaah...


"Aku jadi teringat mak aku pulak. Damn i hate cancer!"
"Kuat tau"


Aku emosional.
Bila saja terbaca, terdengar siapa2 kematian kerana kanser, hati aku automatik mendidih. Aku tahu ini salah, tapi ini mungkin boleh dikatakan kesan trauma kematian mama disebabkan kanser. Selama empat bulan duduk di sisi mama, dengan tangan yang helpless, cuma mampu menjadi saksi penderitaan mama siang dan malam setiap hari, i guess it left something in my heart. Walaupun katanya aku dah let go, katanya aku dah redha, tapi entahlah, rasa ngilu itu tak pernah hilang. I'm still struggling in some ways.

Dan tak tahu macam mana aku develop rasa benci yang amat pada kanser. I disgust it to the extend that i feel i need a therapy. Disebabkan kanser itu bukan makhluk yang kau boleh cekak lehernya, kecaikan otaknya, maka kebencian itu jadi sesuatu yang meletihkan. Kau cuma boleh menggenggam2 penumbuk menahan geram bila2 terbaca berita atau terdengar penderitaan manusia lain disebabkan kanser. Dan kadang2, bila iman lemah, jeritan dalam hati jadi kuat.

"I (F word)ing hate u cancer!!!"

Macam tadi.
Mengongoi dalam kereta.

Sebetulnya, bulan2 kebelakangan ini hidup sangat berat. Diuji dengan hal2 dunia yang menyesakkan tanpa ada tanda2 akan berakhir dalam masa terdekat, aku sepatutnya tertekan. Aku sepatutnya dah menangis guling2 dalam bilik gelap. Tapi yang berlaku sebaliknya. Aku tenang. Terlalu tenang. Yang mana in a way aku bersyukur pada Allah tetapi di sudut yang lain tertanya juga, adakah stress level sekarang sudah di tahap moksya sampaikan aku jadi numb dan tak terasa apa2? Sebab memang kadang2 aku rasa terawang2, melayang2 di udara seperti buih, ikut arah angin nak bawa ke mana. Tak kuasa nak fikir atau melawan dan tunggu sahaja saat untuk meletup.

POP!

Tapi akhirnya tadi air mata keluar juga. Mencurah2 macam air terjun Niagara. Ironinya bukan sebab masalah sendiri tapi kerana dikhabarkan seorang kawan sedang dalam final stage kansernya.


Innalillahi wa inna ilaihi rajiuun.


Aku janji nak datang melawat. Tapi dalam hati aku tahu aku tak mampu nak menghadap musuh yang satu tu.
Belum mampu sebetulnya.
Ahh, gila kan?



Mungkin akulah yang sakit sebetulnya.
Semoga Allah sihatkan kita berdua kawan.

Sunday, October 20, 2013

Adam

Bismillaah...




Waktu ini, Ali buat hal lagi. 
Beberapa kali pulas kunci pada 'starter'nya, Ali sedikit pun tak bagi respon. 
Lampu pun tak dapat dinyalakan. I guess, the battery is out. 
Kesimpulan, setakat ilmu yang ada.


Jadi di sinilah malam2, tersangkut di lab. Mungkin terpaksa bermalam atau ambil risiko macam biasa pulang ke bilik jalan kaki. Well, kalau gigih nak tidur selesa. 

*Bilik baru kemas sehabis baik sebelum bergerak keluar tadi

hOhO


Teringat adam pada pertemuan petang tadi. Singgah jenguk adam di sekolah dengan bekal dua keping nan cheese di tangan. Kena beli dua takut2 kawan 'katok' tak cukup makan adik aku nan bongsu tu.
Dah lah kurus, tapi makin tinggi melalang. Paling tinggi aku rasa dalam adik-beradik. 


Sebenarnya setiap kali aku pandang wajah adam, aku selalu rasa nak tebak fikirannya. Sebab adam terlalu tenang. Terlalu. Sejak mama sakit sampai mama dikembalikan ke bumi setitik air mata pun aku tak nampak jatuh dari matanya. Malah, akulah yang sudah dua kali dipujuk adam.

Satu, sewaktu di ICU, waktu doktor bagi tempoh mama sepatutnya bangun tapi mama tak bangun2. Dua, sewaktu aku dan adam ziarah kubur mama sebelum balik KL. Waktu tu aku terlalu rindu mama. Aku selalu bayangkan aku mahu ziarah kubur mama sendiri dan menangis seorang2, tapi aku tahu aku akan dimarah sebab bahaya perempuan sendiri ke sana. Tempat jauh dari orang lalu-lalang.


Tapi itulah adam, pada kedua2 momen itu dia tenang memujuk, mengusap2 bahu.


Aku tak pernah tanya apa dalam kepalanya, dalam hatinya berkenaan mama. Dia kelihatan sedikit pun tak terkesan. Entah dia perasan atau tak orang keliling begitu kasihankan dia. Muda2 lagi dah kehilangan mama. Sampaikan mak, sampaikan baba, malah Pak Aki yang jauh tu pun tersedu2 telefon aku mengenangkan macam manalah adam. 


Setahun ini, aku macam tak pernah dengar langsung adam ada menyebut2 tentang mama. Tak ada.
Bingung juga memikirkan.


Adam lagi banyak tersenyum bila berjumpa. Manja2. Tak pernah tinggi suara bila bercakap. Cepat2 minta maaf bila dia rasa dia buat salah. Dia sebaik2 adik yang aku ada. Dengan dialah paling mudah aku nak bersembang hal2 agama. 


Cuma mungkin, rindu adam itu boleh dilihat saat dia salam dan cium tangan aku. Boleh juga dilihat saat adam datang memeluk tiba2. Entah kenapa, waktu2 begitu aku rasa dia rindukan mama.


Sangat rindu.



Semoga Allah tetap memelihara adam sebagai hambaNya yang soleh. InshaAllah.


p/s: Adam khabarkan bahawa dia dipilih menjadi Ketua Umum sekolah. Tak tahu nak kata apa.


Macam tak harap budak ni jadi KU










Thursday, October 17, 2013

Jadi Lembu Lebih Baik (sometimes)

Bismillaah...





Kamu tahu, Raya Haji kali ini adalah antara hari yang tidak terlupakan. Pertama kali menyaksikan dan terlibat secara langsung proses penyembelihan lembu korban. Daripada ditumbangkan lembu tersebut sampailah disupkan di dalam dua periuk besar. hihi

Alhamdulillah.

Waktu melihatkan lembu tu sedang siap2 disembelih, terdetik dalam hati bahawa takdir lembu itu lebih baik daripada aku waktu ini. Dia mati dalam keadaan menjadi lembu yang terpilih. Aku ini belum tentu mati sebagai manusia terpilih.

Seorang dari sepupu aku yang umur baru mumayyiz menyatakan kasihannya pada lembu tersebut. Balas mak saudara, sepupu belah baba,

"Jangan kesian. Kalau korang nampak la nikmat lembu tu terpilih jadi korban, korang agaknya doa mintak dapat jadi lembu"


Aha!


Dan aku teringat benar kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Mungkin satu sisi yang jelas untuk aku ambil ibrahnya tahun ini adalah soal ketaatan. Bagaimana Nabi Ibrahim tidak ragu2 apa lagi mempersoalkan 'pengarahan' Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail. Walhal wahyunya cuma datang dari mimpi berkali2. Rasa berat sudah tentu ada, tetapi untuk membelakangkan perintah Allah atas alasan rasa berat atau terlalu cinta akan Nabi Ismail adalah tidak sekali2.


Kita mungkin tidak akan sampai 'diwahyukan' menumpahkan darah anak tercinta. Kalau ada yang mendakwa mendapat perintah sedemikian dari langit maka kita pantas mengatakan dia gila atau mengamalkan ajaran yang bukan2. Cuma yang ingin aku ketengahkan soal ketaatan kita pada wahyu yang telah laaaama termaktub dalam Al-quran.


Yang kita lihat, kita baca, kita belajar. Mana ketaatan kita pada seruanNya untuk solat apa lagi khusyuk? Mana ketaatan kita pada seruanNya untuk berinfaq baik waktu lapang mahu pun sempit, untuk bangun menggagahkan diri berdiri untuk solat malam. Mana ketaatan kita pada Dia dalam soal zakat, dalam soal menutup aurat, menjauhi riba dan sebagainya. Mana?


Walhal perintah2 itu bukannya datang dari mimpi2 lena kita. Perintah2 itu jelas tertulis dalam kitab yang kita percaya sebagai syarat rukun iman kita. Mana aplikasinya?


Mana?




Semoga Allah terus menuntun kita di jalan ini yang sudah tentu menuntut pengorbanan yang lebih besar lagi. Semoga tidak ada keraguan dalam ketaatan. InshaAllah.


Friday, September 27, 2013

^^, (edited)

Bismillaah...





Tiada siapa yang tahu ini;
Dulu2 waktu gundah, waktu cuak akan perihal senior,
senyuman mereka yang selalu menyamankan.
Kamu tahu kalau kakak2 yang bila kita bagi salam lalu dia balas dengan senyum bersungguh dia bagi kita semangat lain macam.

Jadi yeah, kita maka ada kakak favourite dalam hati.
Yang kalau dari jauh dah nampak, kita lalu pastikan laluan berselisih nanti.


Tu belum abang2.
Opps!


=p




May Allah grant us the brightest smile in jannah.

Ameen.

^^,




p/s: tak pernah bagi salam abang2 senior. kakak senior pesan jangan. baikk!








Tuesday, September 24, 2013

Dory

Bismillaah...




Pos paling kegemaran (oh my Malay!) di Instagram.
Sabar sikit lagi.
Usaha gigih lagi.







Mantra.

Sunday, September 22, 2013

Hero

Bismillaah...







Khubaib Ibn 'Adiy.

Menyebut namanya pun boleh menimbulkan rasa pedih tapi dalam masa yang sama bahagia. Takjub, tapi dalam masa yang sama kurang mengerti. Hebatnya cinta sahabat yang ditarbiyah dari tangan Nabi.


Khubaib adalah dari kalangan Ansar dan merupakan antara 313 ahli Badar yang dipilih Allah untuk memenangi musuh dengan bergayanya walaupun dengan bilangan jundi yang jauh lebih sedikit. Kita sehingga hari ini mengagumi keimanan dan keyakinan ahli Badar kepada Allah maka, aku harap kamu sudah dapat melihat atau membayangkan kualiti tarbiyah Khubaib dalam perenggan introduksi ini. Kerana ingatlah doa Rasulullah dalam perang tersebut, 

“Ya Allah, sempurnakanlah kepadaku segala apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, berikanlah apa-apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika Engkau membinasakan pasukan Islam, tentulah Engkau tidak akan lagi disembah di muka bumi ini.”

 (Seperti yang diriwayatkan di dalam sahih Muslim)


Beberapa waktu selepas kemenangan perang Badar tersebut, Rasulullah, sebagai langkah berjaga2, ingin tahu tentang pergerakan orang Quraisy seterusnya, kalau2 mereka ada merancang untuk melancarkan peperangan sebagai membalas dendam atas kekalahan yang memalukan. Maka dengan itu, atas ilham Allah ta'ala, Rasulullah memilih 10 orang dari sahabat baginda untuk melaksanakan misi tersebut. 

Ahh, hati jadi berbunga2. Antara ratusan sahabat kita yang terpilih. Malah bukan Umar, bukan Abu Bakar, tetapi kita? 

Aku membayangkan perasaan mereka ketika itu yang tanpa mereka ketahui syahid sedang menanti.

Sepuluh orang sahabat yang mulia ini dengan diketuai 'Aasim Ibn Thabit bergerak meninggalkan Madinah bagi menyelesaikan misi tersebut. Perjalanan yang jauh dan rahsia itu akhirnya sampai ke suatu tempat antara 'Asafan dan Mekah. Di situ, kehadiran mereka di kawasan Hudhail dengan takdir Allah dihidu musuh. Musuh tersebut dari kalangan Bani Hayyan menghantar 100 orang pelembing terhandal mereka untuk mengejar 10 sahabat ini.


Chup!
Exaggerate kan diorang ni? Nak tangkap 10 orang? Sampai perlukan 100???!Really??!pffft!


Ok sambung.


Kesepuluh2 sahabat ini akhirnya berjaya dijejak walaupun hampir terlepas kerana musuh berjaya menjumpai tinggalan biji kurma yang mereka tahu asalnya dari Madinah. Mereka mengikuti laluan tersebut dan akhirnya menemukan sahabat sedang berlindung di puncak gunung. Keseratus2 mereka mengelilingi kaki gunung dan mengarahkan para sahabat untuk menyerahkan diri dengan janji mereka tidak akan diapa2kan.


Ok, untuk babak seterusnya, kamu akan melihat betapa pentingnya untuk melantik ketua dalam menjalankan sebarang perkara. Hatta bila bermusafir sekalipun, kalau bertiga perlunya dilantik seorang ketua untuk mengepalai perjalanan. Dalam kisah ini, apabila ditawarkan begitu, sembilan sahabat yang lain memandang ketua mereka bagi meminta kata putus. 'Aasim ibn Thabit dengan yakin mengatakan, 


"Demi Allah, aku tidak akan sekali2 menyerah dan meminta perlindungan kepada musuh Islam. Semoga Allah menyampaikan khabar kita kepada Rasulullah SAW" 
Kesembilan yang lain akur dan bertahan sehinggalah tubuh mereka ditusuk dengan sekalian tombak dan lembing. Tujuh daripada mereka syahid di situ. Manakala tiga sahabat yang lain ditangkap lalu dibawa ke Mekah. Namun begitu, sahabat yang ketiga berkeras dan akhirnya dibunuh di situ juga. Tinggallah Khubaib ibn 'Adiy dan Zaid ibn Ad-Dithinnah yang cuba melepaskan diri tetapi gagal. 


Ketibaan mereka di Mekah tersebar ke seluruh kota. Ahli Badar! Ahli Badar jatuh ke tangan kita! Masa untuk balas dendam sudah tiba! Berebut2 sekalian Quraisy yang kehilangan ayah, yang kehilangan anak dalam perang Badar menawarkan harga untuk membeli kedua2 sahabat yang mulia. Akhirnya mereka sepakat untuk sama2 menyeksa Khubaib dan Zaid. Khubaib diserah kepada satu kumpulan dan Zaid kepada kumpulan yang lain.  


Khubaib diseksa sepanjang berada di dalam penjara. Tawaran demi tawaran dilakukan demi Khubaib menyatakan dari mulutnya yang mulia rela menyerahkan Rasulullah sebagai ganti nyawanya. Namun satu persatu ditolak dengan keras. Sehinggalah mereka berputus asa dan membuat keputusan untuk mengakhirkan hayat Khubaib (seperti Zaid yang syahid hari sebelumnya), mereka masih menawarkan nyawa Rasulullah SAW sebagai ganti nyawanya. Balas Khubaib keras,

"Demi Allah, aku tidak rela walau seluruh ahli keluarga dan keturunan ku selamat tetapi dalam masa yang sama Rasulullah sedang menanggung luka walaupun setusuk duri!"

Khubaib cuma meminta untuk menunaikan solat sunat dua rakaat, memilih untuk merasakan nikmatnya sujud buat kali terakhir. Menurut Khubaib jikalau bukan kerana khuatir dianggap takutkan mati, beliau pasti akan melamakan lagi sujudnya. Allahu Allah. Bila agaknya kita akan merasakan nikmat sujud yang sama? T___T

Khubaib dibunuh dengan cara disalib. Doa terakhir beliau kepada Allah,

"Ya Allah, sesungguhnya kami telah menunaikan perintah RasulMu. Khabarkanlah berita tentang kami kepadanya" 


Nun di Madinah, Rasulullah yang kelihatan mendongak ke langit, berpaling pada para sahabat. Baginda mengkhabarkan bahawa kesepuluh2 sahabat yang dihantar untuk misi di atas telah pun syahid dengan Khubaib adalah korban yang terakhir. Hibalah hati mereka sekalian. Basahlah sekalian mata yang ada waktu itu mengenangkan para sahabat yang mendahului mereka. Al Miqdaad ibn 'Amr dan Az Zubair ibn Al 'Awwam dihantar bagi mencari jenazah Khubaib yang ditinggalkan. 



Begitu akhirnya kisah Khubaib, aku tak mengharapkan yang lain melainkan aku bisa mendapatkan cinta yang sama. Walaupun masih jauh, terlalu jauh darjat cinta kami tetapi semoga tempias dari kisahnya akan terus membasahkan hati.


*Rujukan: pelbagai dan dari sebuah buku 'Men Around The Messenger (pbuh)' by Khalid bin Muhammad Khalid





notakaki: Nanti seorang namanya Khubaib Munawwar.
                *angguk2 setuju sendiri





Thursday, August 1, 2013

2:183

Bismillaah...




Siapa yang mengharapkan dari puasanya itu ukur lilit pinggangnya berkurang, maka dia akan mendapatkan semakin longgar setiap seluar atau kain yang dipakainya. Siapa yang mengharapkan dengan puasanya itu belanjanya lebih jimat, maka dia akan mendapatkan bertambahnya simpanan wang pada bulan itu berbanding bulan2 yang lain. Siapa yang mengharapkan dari puasanya itu perniagaannya menguntungkan, maka inshaAllah perniagaannya berhasil dan memberikan keuntungan yang lebih daripada biasa.


Tetapi siapa yang mengharapkan dari puasanya itu taqwa, dia akan mendapatkan dirinya lebih baik dari yang sebelumnya. Dia akan lebih banyak bersedekah, dia akan lebih banyak bersabar dan menahan amarah. Amal ibadahnya juga bertambah, baik dari segi kualiti mahupun kuantiti.


Sudah malam ke-23.
Kalau masih belum, mungkin sudah tiba masanya kita menilai apa natijah puasa kita terhadap tarbiyah diri kita. Apakah kita semakin baik ataupun kita tetap sama seperti dahulu?


Ada tujuh hari lagi. InshaAllah masih belum terlambat.


 


Saturday, July 20, 2013

Sebelas

Bismillaah...


All that is gold does not glitter,
Not all those who wander are lost,
The old that is strong does not wither,
Deep roots are not reached by the frost.
From the ashes a fire shall be woken,
A light from the shadows shall spring,
Renewed shall be blade that was broken,
The crownless again shall be king.


-J.R.R. Tolkien-





Sudah masuk Ramadhan 11. Masihkah ada harapan?

Tuesday, July 16, 2013

Istighfar dan harapan

Bismillaah...




Bagi aku istighfar adalah salah satu zikir yang 'powerful'. Lafaznya di bibir dan hati sentiasa menenangkan jiwa. Kerana tidak ada apa yang lebih menggelisahkan hati orang beriman melainkan memikirkan betapa jiwa mereka dikotori dosa. Dan tidak ada apa juga yang lebih menenangkan hati orang beriman melainkan mengetahui bahawa Allah sentiasa mahu mengampunkan dosa2 mereka. 


Istighfar adalah harapan. Harapan kita kepada Tuhan.












p/s: Sebaik2 pendosa adalah mereka yang bertaubat. Wallahu'alam





Wednesday, July 10, 2013

Bismillaah




Dari lensa kamera orang yang berjalan jauh, dia membekukan masa kanak2 dari seluruh pelusuk dunia. Sayu kadang2 matanya. Ada yang kau jumpa senyum di celahan runtuhan 'kota'. Ada yang kau jumpa ketawa riang dengan baju yang comot, tampal di sini sana. Ada yang kau lihat sedang kelu di sebelah barisan keluarganya yang terbujur kaku. Terbaru aku melihat kanak2 'ditangkap' ketika sedang beratur panjang menunggu giliran mengambil makanan dengan kakinya beralas plastik, buat pengganti kasut atau selipar. Allahu Allah.






Kuatnya mereka mengangkat ujian dengan tubuh yang kecil ibarat gagahnya semut yang menjunjung makanan dengan berat yang jauh berganda dari badan sendiri.


Anehnya, aku membayangkan begini, untuk anak2 tabah yang aku tak pernah tahu namanya apalagi cerita di balik tabirnya- bahawa suatu hari nanti, mungkin 20 30 tahun akan datang dalam keadaan umur tua renta, dalam keadaan memori ingat2 lupa, dah ada cucu lebih dari tiga (harapannya) aku jadi tahu cerita mereka. Bukan aku sahaja malah seluruh dunia.


Kerana waktu itu nama mereka menempa sejarah. Mereka bukan lagi yang tertindas malah pemuka dunia. Dan perjalanan hidup mereka dari kecil digali lalu menghubungkan kepada foto yang pernah lewat di hujung jari.


Moga2 benar terjadi :)




Salam Ramadhan. Semoga semua mereka sentiasa dalam perlindungan Allah.
 

Thursday, June 6, 2013

Selamat Hari Jadi

Bismillaah...


5 Jun 2003 - kini



Genap sepuluh tahun.
Marilah dihimpun segala energi, segala aspirasi dan inspirasi  untuk kehidupan yang mungkin berpuluh tahun lagi..
Cinta yang lama dikekalkan dan yang baru haruslah dengan lapang menerima.
Dan yang ditunggu...
Nantikanlah dengan penuh setia.








InshaAllah






:)



Ma, ana dah dua puluh lima.
Terima kasih :)



Tuesday, May 28, 2013

Bismillaah...






Hikmah mama pergi dulu.

Dulu2 hal2 silaturrahim saudara-mara kau berdiri belakang mama saja. Mama ajak, kau menurut, mama gelak kau ikut gelak, mama bersembang, kau tukang dengar. Sekarang, tak lagi, kau kena terkedepan (entah wujud entah tak perkataan ni). Gurau2, ambil hati, sweet2. Sampai2 tak ada rasa canggung sembang dengan orang tua. Sampai2 kau yang mengingatkan semua- urusan silaturrahim tanggungjawab bersama. InshaAllah itu saham untuk mama bahagia.Kau kan sekarang ni yang paling tua antara semua.

Err di Malaysia la.


Apapun, masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Dan bencinya kau bila berkumpul semalam sehari begini bila rasa berat mahu pulang menghadap realiti.

Teringat doa yang dibaca dan diaminkan bersama sewaktu hari famili malam itu,
"Ya Allah, Kau eratkan hati2 kami ya Allah, Kau eratkan hati2 kami ya Allah"


Ameen.



-Limastiga Homestay, Melaka-


 


Apan

Bismillaah...



Standing handsomely on stage while waiting for the name being called



Anak nombor enam mama, sudah sedia untuk menakluk dunia.
InshaAllah.

Nanti kita bercerita2 di sana ye ma :)

Tuesday, April 30, 2013

Inspirasi Yasmen Mogahed

Bismillaah...



Kita ini adakalanya, waktu2 sempit, waktu2 sulit, waktu jiwa rasa terhimpit kita lupa bahawa Allah pernah melepaskan jiwa yang mulia Nabi Yunus AS dari kegelapan perut ikan nun kembali kepada sinar mentari di daratan.

Kita lupa bahawa api yang marak membahang, yang sepatutnya membakar dan memusnahkan batang tubuh Nabi Ibrahim AS menjadi dingin dan menjadi lingkaran paling menenangkan pada waktu itu dengan izin Allah.

Kita juga lupa bahawa saat Nabi Musa AS, terbentang di depannya laut Merah yang luas dan di belakangnya fir'aun dan tenteranya yang menerpa ganas, dia dengan yakin menghayun tongkatnya, memukul air laut dengan perintah Allah. Air laut lalu terbelah dua membuka dasar laluan untuk Nabi Musa dan pengikutnya melepaskan diri seperti yang tercatat dalam al quran.


Kegelapan kita, walaupun hidup di bawah cahaya adalah mungkin sama hitam dan pekatnya dengan kegelapan Nabi Yunus di dalam perut ikan nun itu.
Bahang di jiwa kita walaupun tak terlihat marak apinya mungkin sama panasnya dengan api yang cuba digunakan untuk membakar Nabi Ibrahim dulu.
Kesesakan kita, kesempitan kita, kesulitan kita yang sepertinya tidak ada jalan keluar itu sebenarnya mungkin tidak sehebat dua 'jalan mati' yang dihadapi Nabi Musa AS di hadapan dan di belakangnya waktu itu.


Ujian kita sama cuma dalam bentuk yang berbeza. Maka tidak mustahil seperti mereka kita akan kembali mendapat cahaya, seperti mereka kita akan kembali merasa tenangnya hati dan dinginnya jiwa, seperti mereka, inshaAllah, Allah akan menunjukkan jalan keluar dari arah yang tidak disangka2.


Pokoknya, kembali.




Merasa beberapa jam dengan sebutir cahaya. Perut ikan nun gelap lagi.



*Reclaim Your Heart '13

Monday, March 4, 2013

Adaptasi

Bismillaah...



There is a house built out of stone
Wooden floors, walls and window sills...
Tables and chairs worn by all of the dust...
This is a place where I don't feel alone
This is a place where I feel at home...

Cause, I built a home
for you
for me

Until it disappeared
from me
from you

And now, it's time to leave and turn to dust...



-The Cinematic Orchestra, To build a Home-




Kembali pada titik mula. Debu dan kosong.

Saturday, March 2, 2013

Infiniti

Bismillaah...


"Serabut dengan dakwah tanahair...

Ustaz dan tok2 guru aliran pondok menghentam wahabi dan salafi sambil memuji Ahbash, aliran Habaib (habib-habib) pula sibuk dengan Maulid akbarnya, manakala pengikut syiah ghairah dengan memperluaskan ajarannya sikit-sikit karbala dan me'nasibi'kan ahli sunnah. Manakala jemaah dakwah versi haraki dok berselisih siapa lebih 'ori' Ikhwan Musliminnya, kumpulan pendokong Sunnah pula join UMNO .

Dakwah non-Muslim slow, anak-anak muda ramai yang biadap dan kurang ajar nak mampus, ustaz popular tak membantu dakwah sebaliknya menebalkan taasub, bawa ajaran pelik-pelik, orang tua-tua bergaduh soal politik, kerajaan semakin zalim dan mencuri duit rakyat. Hiburan berleluasa, hari-hari cerita rogol dan bunuh, harga barang naik, bukan Islam makin bencikan Islam dan hilang hormat pada umat Islam.

Aduhai dakwah, apa yang mahu diseru? Segenap penjuru diserbu...Mengah jika berseorangan mujur ada ukhuwah yang dapat meneman.

Biarkan...biarkan aku mencari redha Allah bukan 'like' dan 'komen' sokongan. Aku akan terus dengan jalanku, mengajak kepada tauhid dan Tuhan yang satu walaupun jalannya panjang dan cabarannya berliku !"


-ustaz emran-


Cukup dengan baris2 ini sebagai justifikasi mengapa aku tidak mampu berfikir untuk bersenang2. Kalau orang lain mungkin boleh meletakkan umur2 tertentu untuk berehat, menuai hasil berpenat lelah bekerja bertahun2, membesarkan anak2 etc etc, tetapi subhanallah, dakwah dan tarbiyah ini seolah tidak mengizinkan aku untuk membayangkannya pun. Mengangankannya juga begitu jauh. Tidak ada kerehatan di dunia. Kerehatan bukan di sini tetapi di 'sana'.  


Moga saja Allah izinkan dihimpun tenaga raksasa, iman yang perkasa yang bekalnya tahan sampai ke penghujung. Yang dengannya, segala janji kepada Yang Maha Agung tetap terjunjung.


Doakan. 



Wednesday, February 27, 2013

(67:13)

Bismillaah...



Mama,
Ingat tak apa pesan ana pada mama selalu2 sepanjang pembaringan mama yang kaku tetapi berwajah segar di akhir2 waktu itu? Selama 22 tahun ana hidup dengan pesanan2 mama, sampai tahun yang ke 23, tiga bulan sebelum menjengah 24, Allah mentakdirkan yang sebaliknya. Lucu. 

Bezanya pesan ana, pesan ana saat2 mama mahu dijemput pergi.

Ana bisikkan ke telinga mama dengan harapan mama mendengar. Perlahan tapi dengan nada yang meyakinkan ana sampaikan,

"Mama, kami dah tak mampu dengar suara mama. Allah sajalah sekarang ni tempat mengadu sakit dan perit mama. Allah maha mendengar. Mama ceritalah apa saja pada Allah. Mama mengadulah apa saja pada Allah. Mama mintalah apa saja dari Dia. Kami dah tak mampu. Kami serah mama  seluruhnya pada Allah. Allah dengar ma. Mama jangan putus asa."

Ana berangan, kalau mama bangun semula bila2 dari waktu itu ana nak tanya sama ada mama dengar atau tidak pesan ana itu. Sebab orang kata, jasad yang sedang koma itu mendengar cuma tidak mampu menjawab kembali. Ana cuma nak tahu, apa benar? Tambah lagi, ana akan tanya doa apa yang mama panjatkan sampai Allah izinkan mama bangun dan buka mata semula.


Tapi nampak gayanya, nampak gayanya soalan kena tangguh sampai Allah izinkan kita bertemu semula. Sama juga dengan rindu. Rindu ana sedang digantung di langit sampai waktu Allah izinkan mama menyambutnya.

Mama,
ana nak minta izin ambil pesan ana semula ya?
Ana perlukannya waktu ini lebih daripada ana perlukan nasi.
Lebih daripada ana perlukan telefon tangan atau komputer riba.
Lebih daripada semua.


Ma,
ana rindu.


(67:13)

Friday, January 11, 2013

Bismillaah...








"Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang2 yang bertaqwa. Yaitu orang yang berinfaq, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang2 yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan"

(Al Imran:133-134)












Selamat hari Jumaat!
Dah habis baca Al-Kahfi?

Wednesday, January 2, 2013

Zebra

Bismillaah...


Kita ini manusia yang taat kadang2 berdosa atau
manusia yang berdosa kadang2 taat?


Kita ini manusia yang gembira kadang2 sedih atau
manusia yang sedih tapi ada kalanya gembira?



Itulah, minum kopi lagi.
Esok kerja na.




Kisah aku

kawan satu payung=)

Siapa kena timpa hujan?=)