Wednesday, December 14, 2011

Baklava

Bismillaah...


Dalam wad ni, atas katil nombor berapa entah tapi terletak paling hujung sebelah tingkap ada seorang popo (nenek) terbaring antara sedar dan tidak di situ. Aku tak pernah dengar suara dia. Yang selalu keluar cuma bunyi batuknya yang berkahak serta bunyi nafas kasar yang turun naik selepas itu. Tapi bukan itu saja yang aku perasan tentang popo. Aku perasan tak ada siapa pun datang melawat popo, tengok popo hari2. Selang sehari pun tak ada. Seminggu pun tak. Popo seorang diri selalu. Kadang2 bosan mengiring kanan, dia mengiring kiri. Bosan kiri balik semula ke kanan. I always wonder apa yang ada dalam fikirannya.


Sebenarnya dua minggu sebelum tu, nurse2 dalam wad ni ada bercerita. Bercerita tentang anak popo. Anak popo yang tak mahukan popo. Anak popo yang bila ditelefon, dan diberitahu yang ini panggilan dari hospital, soalan pertama yang keluar, 'mak saya sudah mati ka?'. Bila nurse tu menidakkan dan beritahu kemungkinan popo ni perlu dibawa pulang, respon yang diterima adalah berunsur terkejut campur rasa tak senang. Hmm...kasihannya popo.


Habis cerita tentang popo. Nak cerita pasal mama. Pagi tadi, kepala mama dibedah lagi. Dibuka semula jahitan, dicuci (istilah kampungnya) untuk buang air di kepala, dijahit semula. Untuk yang kesekian kalinya. Untuk yang kelima kalinya kalau dicampur pembedahan pertama bulan puasa lepas. Pembedahan keempat adalah untuk buang nanah di kepala, nanah yang mula menjangkiti sel2 otak mama yang dah mati.


Mama, untuk pengetahuan pembaca luar lingkaran kerabat kenalan di facebook dan alam nyata, disahkan menghidap kanser otak (Glioblastoma multiforme). Sah dalam rekod perubatan Syawal yang lepas. Sekarang masih lagi terbaring, tapi alhamdulillah sedar dan respon dengan baik, cuma masih lumpuh sebelah kiri. Kalau cerita tentang simptom, mama cuma menunjukkan simptom sakit kepala yang sangat2 seminggu sebelum doktor mengesahkan mama ada tumor yang perlu dibuang dari kepala.

Itupun 'nasib baik' sakit kepala tu sampai buat muka mama herot sedikit persis seorang yang terkena minor strok. Cakap mama jadi kurang jelas dan air liur atau makanan meleleh keluar dari mulut sebelah kiri, kalau tak, tunggu mama pengsan, muntah2 kot baru mama setuju nak buat check-up di hospital. Seminggu tu sajalah simptom tu mula keluar lalu buat aku fikir betapa hebatnya pembunuh senyap bernama kanser ni. Ibarat ninja si pembunuh upahan yang menggunakan jurus sembunyi dalam bayang dalam pekat malam, yang tahu2 saja dah menghunus katana ke leher. erk, macam tak relevan pulak ninja dan katana kan? ahh apa2lah.


Tapi itulah, ujian ini bukan untuk mama seorang, bahkan untuk semua, kami bersebelas (7 + mama baba + mak mbah) terutamanya. Aku secara peribadi terasa sangat sedang ditarbiyyah secara langsung dari Allah tentang sabar, tentang ikhlas, tentang syukur. Setiap hari aku struggle very hard untuk perbaharu segala yang disebut di atas sebab aku tak mahu menjadi orang yang rugi di dunia, rugi di akhirat. Sakit di dunia, merana di akhirat. Sayang, kalau ujian yang diturunkan semata untuk meninggikan darjat tetapi akhirnya menjadi penyebab azab di sana hanya kerana kita tak bersabar sedikit lagi. Akhirnya, kita hilang percaya dan semakin jauh dari Tuhan. Ahh mohon dijauhkan walaupun bisikan2 syaitan yang melemahkan acapkali cuba dihembus ke dalam hati. Setengah mati juga mempertahankan benteng iman yang ada sedikit cuma ni.


Bila orang pesan aku perlu banyak minum air, aku capai botol mineral dan teguk airnya sebelum dahaga datang. Bila orang pesan yang aku perlu banyak makan, aku makan dengan banyak yang bila ditegur kawan aku katakan yang aku perlukan tenaga yang banyak- ulang-alik hospital, kerja siang, berjaga malam. Kawan terus mengiyakan. Tapi lebih dari itu 'makan dan minum' yang banyak perlu disuap di sini *tangan rapat ke dada kiri*. Di sinilah yang paling perlu banyak diisi. Yang dalam ini, yang namanya ruh. Kuat yang ini, come hell or high water, i'll survive. InshaAllah.


Lagi satu, aku ada terapi ini. Hadiah dari kawan. Untuk catatan harian. Tentang mama.





P/s: Pertama kali merasa baklava aku perasan yang manis hidup aku jauh lagi dari manisnya baklava. Nantilah, di 'sana'. Kamu pun kan?

p/s/s: oh ya, kalau ada siapa2 ada pengalaman berkenaan brain cancer ni sudi2lah kongsi ye. Mungkin dari sudut orang yang sakit atau dari sudut orang yang menjaga pesakit. Kongsi apa saja, kalau ada doa2 tertentu, tentang menu makanan yang sesuai ke, pantang larang, atau apa2 jelah sila drop dalam komen ok. Semoga Allah membalas yang terbaik untuk kamu.

2 comments:

Anonymous said...

Shafakillah..Semoga Allah tabahkan hati kak ana sekeluarga. Allah takkan menguji hambaNya dengan apa yang mereka tidak mampu.

has said...

Catatan harian.
Moga rezeki membacanya.
Agar cebis semangat itu berbekas di hati.
Ya, moga - moga.

Kisah aku

kawan satu payung=)

Siapa kena timpa hujan?=)